Friday, July 24, 2009

Ringkasan Isra' dan Mikraj



Malam jumaat lepas, J/K Surau Taman Saraya baru sahaja selesai menganjurkan program menperingati Isra' dan mikraj, alhamdulillah sambutan yang sangat menggalakkan lebih kurang hampir seratus orang yang hadir untuk majlis tersebut. Ceramah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ust. Ahmad Kashfi (seorang guru yang mengajar di Sek. Men. Pandan Mewah) sangat berinformasi kepada hadirin dengan memberikan beberapa pengajaran daripada peristiwa Isra' dan Mikraj untuk sama-sama meningkatkan iman dan menambah amalan menuju keredhaan Allah. "Surau adalah jantung taman, terabainya surau bermakna taman tersebut kurang diberkati" begitulah maksud kata-katanya dalam ceramah beliau pada malam tersebut. Kata-kata yang sangat ringkas tetapi memberi maksud yang sangat dalam bagi mereka yang memahami.

Dalam ceramah tersebut juga Ust. Kashfi menghuraikan serba sedikit mengenai pengalaman perjalanan yang ditempoh olah Nabi s.a.w antaranya, Nabi melihat sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di sisinya terdapat daging yang baik, itulah balasan bagi mereka yang lebih memilih perkara yang haram dari yang halal, sedangkan isteri yang sah sedang menunggu di rumah tetapi memilih perempuan yang tidak sah semata-mata kerana nafsu, begitu juga Nabi s.a.w melihat manusia yang menghantuk-hantuk kepala mereka ke dinding, itulah balasan bagi mereka yang tidak sembahyang dan banyak lagi huraian-huraian yang disampaikan oleh beliau dan iktibar yang paling utama sekali kata beliau adalah penerimaan Rasulullah s.a.w solat lima fardhu waktu.

Namun apa yang lebih saya tertarik adalah pesanan beliau kepada jemaah pada malam tersebut supaya mendidik anak masing-masing agar mengambil berat tentang sembahyang anak-anak, beliau juga menyarankan agar mencontohi pesanan Rasulullah s.a.w dengar menyuruh anak sembanyang pada umur tujuh tahun dan memukulnya kalau anak masih tidak sembahyang pada umur sepuluh tahun.

Selepas majlis tersebut, jawatankuasa surau mengadakan sedikit jamuan nasi beriani disediakan untuk semua hadirin yang ditaja oleh individu yang bermurah hati (moga Allah memberkati rezekinya). Semangat ukhuwwah juga dapat dilihat pada malam tersebut yang dihadiri oleh jemaah lelaki dan perempuan termasuk remaja-ramaja dengan makan bersama-sama sambil bertanya khabar.

Sebenarnya tidak rugi kalau kita menghadiri majlis ilmu, kerana Allah Taala sentiasa memberkati dan merahmati mereka yang berada dalam majlis tersebut. Diharapkan program-program yang akan dianjurkan selepas ini akan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan.

Ucapan terima kasih kepada pengerusi surau dan s/u surau yang begitu banyak berkorban masa dan tenaga untuk mentadbir surau agar lebih terurus dan bermanfaat serta semua ajk yang terlibat bagi menjayakan majlis tersebut. semoga Allah Taala membalas dengan ganjaran di akhirat InsyaAllah....

Monday, July 20, 2009

PERINTAH SOLAT LIMA WAKTU: SUATU PENGHAYATAN ISRA' DAN MIKRAJ


Julai 20, 2009, 9:28 pm
Difailkan di bawah: Bicara Agama

2-Ibadah-3

Israk dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi. Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.

Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam. Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. “Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra’:1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat. Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal. Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan ‘khatimin nubuwwah.’ Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat. Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin. Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman. Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya. Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya. Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh. Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk. Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar. Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa. Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia. Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Oleh: Penerbit MutiaraIslam Online

Amalan Saling Bermaafan Damaikan Hidup Bermasyarakat


Mei 7, 2009, 11:44 pm
Difailkan di bawah: Tazkirah Ummah

berjabat-tangan

SIFAT pemaaf bukan saja menonjolkan peribadi Muslim berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi, malah turut mencerminkan keindahan Islam sebagai agama samawi yang meraikan fitrah kejadian manusia.

Hakikatnya, maaf adalah ungkapan amat mudah diucapkan tetapi sukar dipraktikkan. Al-Quran menjelaskan meminta dan memberi maaf antara amalan murni yang melayakkan Muslim mendapat ganjaran tinggi di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Terima kemaafan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil.” (Surah al-‘Araf, ayat 199)

Sesungguhnya sifat pemaaf sudah sebati dalam jiwa dan akhlak Rasulullah SAW. Walaupun celaan dan cabaran hebat dihadapi terutama ketika dipulau dan dihalau dari Makkah, Baginda membalas baik individu yang menyakitinya.

Apabila berjaya membuka kota Makkah, sebagai pemerintah yang sentiasa mendapat petunjuk Allah, Baginda tidak membalas keburukan yang diterimanya dulu.

Sifat pemaaf antara aset penting menyebabkan Rasulullah SAW dipandang mulia oleh masyarakat Arab zaman itu meskipun sebahagian mereka menolak ajaran Islam yang dibawa Baginda SAW.

Ketinggian peribadi Rasulullah SAW bersesuaian dengan tujuan diutuskan Baginda ke dunia iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam konteks kehidupan kini, meminta maaf dan sifat pemaaf perlu disemai dalam diri. Ibu bapa memainkan peranan penting menyemai nilai murni itu dalam diri anak supaya mudah dipraktikkan dalam kehidupan mereka.

Malu untuk mengaku kesalahan menjadikan amalan meminta maaf lenyap dalam diri Muslim. Ia membimbangkan apabila sentiasa berada dalam zon selesa, manusia berasakan kesalahan sesuatu yang biasa sambil mengetepikan hak dan perasaan orang lain.

Justeru, sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara remeh perlu ditanam dalam diri Muslim. Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah khususnya berkaitan kehidupan bermasyarakat.

Tidak dinafikan, amalan meminta maaf dan sifat pemaaf berkait rapat dengan ego manusia tergolong dalam kategori nafsu yang sentiasa mengarah kepada keburukan. Dengan ego menebal dalam diri, seseorang bersalah tidak sanggup berdepan dengan pihak yang teraniaya dan meminta maaf.

Sebenarnya amalan meminta maaf dan sifat pemaaf mempunyai kaitan dengan sifat sabar. Dengan bersabar, ego dapat ditundukkan, maka lahir perasaan mudah meminta maaf dan juga memberi kemaafan.

Tanpa tahap kesabaran tinggi dalam mendepani apa juga masalah dan cabaran, maka akan jauh manusia daripada amalan meminta maaf dan sifat pemaaf. Allah mengingatkan kita pentingnya sifat sabar dalam diri.

Firman Allah bermaksud: “Maka bersabarlah dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5)

Firman-Nya bermaksud: “Dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Amalan meminta maaf dan sifat pemaaf patut menjadi budaya rakyat negara ini yang hidup dalam masyarakat majmuk. Bagi orang Islam, sifat murni itu perlu dipraktikkan sesama Muslim atau mereka berlainan agama.

Sesungguhnya setiap manusia tidak terlepas melakukan kesilapan dan kesalahan. Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 185)

Selain rasa tanggungjawab untuk meminta maaf kepada sesama manusia terhadap segala kesalahan dan keterlanjuran, kita juga bertanggungjawab untuk memohon keampunan daripada Allah pada setiap waktu dan ketika.

Tiada sesiapa pun di dunia yang bersifat maksum (terpelihara daripada dosa dan kesalahan) melainkan nabi dan rasul yang menjadi pilihan Allah sebagai contoh serta ikutan terbaik umat manusia.

Jangan mudah alpa dibuai keseronokan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun kepada hamba-Nya yang tidak jemu memohon keampunan atas dosa yang dilakukan.

Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 25)

Memohon keampunan kepada Allah penting untuk mendapat keredaan hidup dunia serta akhirat. Rasulullah SAW ketika Saidatina Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mengetahui malam berlaku Lailatul Qadr, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu? Bersabda Rasulullah SAW: Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku.”

Apabila kita menerima amanah

Amanah itu satu tanggungjawab yang perlu kita laksanakan dengan sepenuh hati dan jiwa raga. Satu bebanan yang harus dipikul dengan pengorbanan masa dan tenaga. Suatu tanggungjawab yang telah diberi kepercayaan oleh masyarakat untuk kita mentadbir dengan sebaik mungkin agar lebih terurus dan ceria.

Apabila amanah itu kita sanggup memikulnya adalah sangat tidak munasabah untuk kita mengabaikan dengan begitu saja tanpa rasa bersalah. Kerana kita tahu kita akan dipersoal kelak bagaimanakah kita menunaikan tanggungjawab yang kita terima. Dan jangan lah kita hanya menerima sekadar satu penerimaan seolah-olah berbentuk meterial sahaja. Lebih baik kita menjadi orang biasa yang tidak dibebankan dengan apa-apa dari menerima tanggungjawab tapi tidak ada kesungguhan untuk menunaikannya. Betapa mulianya mereka yang memikul tanggungjawab dan bersungguh untuk melaksanakannya walaupun tiada upah dan gaji yang dijanjikan.

Betapa indahnya kiranya amanah ini mendapat restu dari yang Maha Esa walaupun di kalangan manusia terdengar suara sumbang yang mengejek. Mulakan dengan kita dulu sebelum menyalahkan orang lain sedangkan mereka yang menyisih mungkin belum mendapat taufik dari Allah Taala untuk bersama-sama menceriakan kemanisan amanah ini.

Saturday, July 18, 2009

Bismillahirrahmanirrahim

Bermulanya perjuangan kami untuk menegakkan syi'ar Islam di taman ini agar ia sentiasa subur di hati penduduk khasnya penduduk taman ini agar sentiasa mencintai ibadah kearah menuju kebaikan dan kesejahteraan akidah yang sebenar yang mampu memimpin manusia supaya berbekal dengan bekalan iman dan taqwa.