Monday, November 30, 2009

Tafsir Al-Qur'an: Jenis Dan Pecahannya

Para Ulama telah membahagikan kepada dua ketegori:

1) Tafsir Bil Ma'thur
2) Tafsir Bil Ra'yi

Tafsir Bil Ma'thur

Menafsir al-Qur'an dengan dengan bersandarkan kepada hadis-hadis, Tabi'in dan Tabi'in-tabi'in. Dalam jenis ini, Tafsir Jami'ul Bayan oleh al-tabari dianggap yang teragung di mana ianya memuatkan segala kata-kata Sahabat dan Tabi'in beserta dengan sanadnya sekali. Dan yang terdekat dengan Tafsir al-tabari ialah tafsir Ibnu Kathir.

Tafsir Bil ra'yi

Pentafsiran al-Qur'an dengan mengunakan akal fikiran. Ada dua jenis tafsiran ini. Pertama, Tafsir Bil Ra'yi al-Mamduh al-Maqbul yang masih dapat diterima kerana menurut kaedah-kaedahnya yang betul. Dan kedua, Tafsir Bil Ra'yi al-Mazmum al-Mardud yang tertolak kerana unsur rasionalismenya yang ekstrim dan menurut hawa nafsu. Di antaranya ialah tafsir-tafsir dari golongan Muktazilah, Syiah Batiniyyah dan golongan sufi mistik seperti Ibnu Arabi.

Pecahan-pecahan tafsir

Para Ulama telah membahagikan tafsir-tafsir yang masyhur pada masa kini kepada beberapa pecahan berdasarkan kandungan isi dalam tafsir tersebut. Antara pecahanppevahan tersebut adalah:

1) Tafsir yang menekankan aspek gaya bahasa dan keindahan bahasa seperti Tafsir al-Kasyaf oleh Zamakhsyari dan Tafsir Baidhawi.

2) Tafsir yang menekankan aspek tatabahasa, dengan menggunakan syair-syair Arab untuk mengukuhkan pendapat mereka seperti Maanil Qur'an oleh al-Zajjad, Tafsir al-basith oleh al-Wahadi, Tafsir al-Bahrul Muhith oleh abu Hassan Nuhammad bin Yusuf al- Andalusi.

3) Tafsir yang menitik beratkan kisah-kisah Israiliyyat iaitu yang berasal dari Yahudi dan Nasrani malah dari kaum zindiq juga. Misalnya Tafsir al-tha'labi dan Tafsir Alauddin bin Muhammad al-baghdadi.

4) Tafsiran yang meninjau dari segi hukum-hukum fiqh. Polupornya ialah Imam al-Syafi'e dengan kitabnya Ahkam al-Qur'an. Sesudahnya lahirnya tokoh-tokoh lain dengan kitab mereka yang kebanyakkannya memakai judul Ahkam al-qur'an juga.

5) Tafsir ysng menekankan sifat-sifat Allah seperti Tafsir Mafatihul Ghaib oleh al-Razi.

6) Tafsir yang menitikberatkan simbol-simbol atau isyarat-isyarat al-Qur'an yang berhubung dengan ilmu tasawuf seperti Tafsir Abu Muhammad Sahl bin Abdullah at-Tasturi. Tafsir Isyari atau simbolik ini ada yang sahih dan ada yang bathil atau sesat. kebanyakannya ia dipengaruhi ajaran Syiah.

7) Tafsir yang memperkatakan lafaz al-Qur'an yang gahrib (yang jarang terpakai dalam perkataan seharian) seperti kitab Mu'jam Gharibul Qur'an oleh Muhammad Fuad Abdul Baqi.

Pembahagian ini telah disepakati sebahagian ulama dahulu dan sekarang. Oleh itu, sebelum kita menggunapakai pendapat dan pandangan dari kitab-kitab tafsir seharusnya kita mengenalpasti terlebih dahulu maksud penerangan kitab tafsir tersebut kerana kitab-kitab tafsir yang ada sekarang adalah lebih cenderung kepada aliran pemahaman masing-masing.

(Dipetik dari : PEMIKIRAN ISLAM KLASIK : PENGARUH FALSAFAH YUNANI DAN KEBANGKITAN GERAKAN TAJDID, Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, cetakan pertama 2004, al-Hidayah Publisher)

Tuesday, November 3, 2009

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 3)


(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)
Adab Solat Berjemaah
Kisah Abu Musa Al-Asy'ari dengan makmum:
"Abu Musa Al-Asy"ari bersembahyang bersama kami (sebagai imam). Ketika Abu Musa sedang duduk, ada seorang lelaki berkata: Sembahyang harus disertai dengan kebajikan dan zakat. Maka ketika Abu Musa selesai sembahyang dan sesudah mengucapkan salam, ia berpaling kepada orang banyak, lalu berkata: siapa yang berkata itu tadi? Orang yang banyak diam (tiada yang menjawab). Abu Musa kembali bertanya, sedang orang banyak tetap diam (mungkin kerana hormat atau takut). Lalu berkata Abu Musa Al-Asy'ari : Barang engkau Hiththan yang berkata itu? Aku (Hiththan) menjawab: Demi Allah, aku tidak berkata demikian. Aku takut kalau engkau akan memarahi saya kerana ini. Lalu berdiri sorang lelaki di tengah orang banyak dan berkata: sayalah yang berkata itu dan tidak ada yang saya maksud dengan perkataan itu selain kebajikan jua. Maka berkatalah Abu Musa Al-Asy'ari: Tidakkah kamu tahu, apa yang kamu ucapkan dalam sembahyang? Rasulullah s.a.w telah berkhutbah kepada kami menerangkan sunnah (sembahyang) kita, dan apa yang harus kita sebut di dalamnya. Berkata Rasulullah s.a.w : Bila kamu sembahyang, maka luruskanlah barisanmu, kemudian harus maju seorang menjadi imam. Maka apabila imam sudah bertakbir, maka baru kamu bertakbir, dan bila ia membaca, maka harus kamu mendengarkan, dan apabila imam berkata: Ghairil maghdhuubi alaihim wa ladh-dhallin, maka hendaklah kamu berkata: aaamiin. Allah akan mencintai kamu. Dan apabila imam sudah bertakbir dan rukuk maka hendaklah kamu bertakbir dan rukuk. Jadi imam rukuk sebelum kamu rukuk. Dan imam bangkit sebelum kamu bangkit. Berkata Rasulullah s.a.w: Maka itu dengan (sesudah) itu. Dan apabila imam mengangkat kepalanya dan berkata: Sami'allaahuliman hamidah, Maka angkatlah olehmu akan kepalamu dan katakanlah : Allahumma rabbana lakalhamdu. Allah akan mendengar ucapanmu itu. Dan apabila imam sudah bertakbir dan sujud, hendaklah kamu bertakbir dan sujud. Dan apabila ia telah mengangkat akan kepalanya dan bertakbir, maka hendaklah kamu mengangkat kepalamu dan bertakbir. Berkata Rasulullah s.a.w: Maka itu dengan (sesudah) itu. Dan apabila imam sudah duduk, maka yang pertama harus kamu ucapkan ialah: at-tahiyyatu lillahi wash-shalawaatu wath-thayyibaatu, sehingga kamu selesai dari tasyahhud.
Oleh yang demikian, sesiapa yang bertakbir bersama-sama imam adalah salah bererti meninggalkan apa yang diperintahkan Rasulullah s.a.w. Maksud yang jelas adalah apabila imam betul-betul bangkit dari rukuk atau sujud barulah makmum boleh bangkit. Sekiranya imam baru separuh bangkit dari rukuk atau sujud atau pelakuan lain dan makmum terus bangkit ini bermakna sembahyang berjemaah tersebut tidak sempurna.Ketika imam membaca surah al-Fatihah, makmum mesti mendengar sehingga selesai dan mengaminkannya barulah makmum boleh membacanya..
Pernah berlaku di balaisah kampung saya ketika solat terawih di bulan puasa, imam membaca ayat tersangat laju dan pendek menyebabkan makmum tak sempat habiskan bacaan surah al-Fatihah kalau dibaca selepas mengaminkan bacaan. Jadi untuk sempat habiskan bacaan surah al-Fatihah, para makmum membacanya ketika imam belum selesai membaca surah tersebut dan sempat habiskan bacaan ketika imam membaca surah lazim.. Kerana terlalu mengejar 20 rakaat sehingga terlupa adab-adab sembahyang berjemaah.
Oleh itu, jagalah adab-adab sembahyang agar solat kita sentiasa sempurna dan diterima oleh Allah Taala sebagai suatu bekalan kita pada hari kekal kelak.

Thursday, October 22, 2009

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 2)


(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)
Meluruskan saf sebelum solat sangat dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w
1) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
"Luruskan saf (barisan) sejajar bahu, tutup tempat yang kosong, jgn sampai berdiri ditengah-tengahmu anak kambing dari syaitan-syaitan."
[Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dari Abu Umamah, berkata Al-Munzhiriy dalam at-Targhib: Sanadnya baik. juga diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas. Juga oleh Abu daud, Nasa'i, Abnu Khuzaimah dan Ibnu Hibbah.]
2) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Adalah Rasulullah s.a.w bila berdiri di tempatnya untuk solat, tidak memulai takbir sebelum terlebih dahulu melihat ke kanan dan ke kiri, lalu memerintahkan orang banyak mensejajarkan bahu, lantas berkata: Janganlah kamu bersimpang siur (bengkok : tidak lurus) sehingga bersimpang siur hati kamu." [H.R Abu daud]
3) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Bahawa Rasulullah s.a.w berpaling pada suatu hari, maka beliau melihat seorang lelaki keluar dadanya dari saf, maka Baginda berkata: hendaklah luruskan bahu-bahumu itu, kalau tidak Allah akan pecah belahkan hati-hati kamu."
[Diriwayatkan oleh Muslim, Bukhari dan Abu Daud dari Nu'man Ibn Basyir]
Tiga hadis di atas menjelaskan bahawa meluruskan saf suatu amalan yang penting sebelum mendirikan solat. Selalunya kita sering mengabaikan keutamaannya dan menganggap itu hanya perkara yang remeh sahaja. Sedangkan kita lupa bahawa teguran Nabi s.a.w mengenai saf sebelum solat adalah suatu yang penting yang mana ia melibatkan hati sesebuah jemaah. Berdasarkan dari hadis di atas membuktikan bahawa meluruskan saf sebelum solat mempunyai kaitan dalam kehidupan seharian dan yang paling jelas bahawa untuk memperoleh khusyuk dalam solat juga berkaitan dengan saf.
Oleh itu, sebelum solat rapatkanlah saf dan betulnya mudah-mudahan kita akan memperoleh kenikmatan dalam solat.

Monday, October 19, 2009

Info Hadis : Pemurnian Solat (siri 1)


(Dipetik dari : Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal, Thinker's Library Sdn. Bhd)
Solat merupakan amalan yang sangat penting dalam menentukan kedudukan seorang hamba di hadapan Allah taala. Rosak solatnya maka akan cacatlah keseluruhan ibadahnya yang lain. Sebab itulah Allah Taala telah menegaskan bahawa solat itu dapat mencegah manusia dari melakukan perkara yang mungkar. Mengenai solat Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Akan datang pada suatu masa atas manusia, di mana mereka bersolat (bersembahyang) yang senbenarnya mereka tidak bersolat". (tiada maklumat tentang takhrij hadis, sila rujuk buku "Betulkan Solat Anda: Imam Ahmad Ibnu Hambal" m/s 9)
Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud:
"Kecelakaan (neraka wail) bagi si alim yang membiarkan si jahil, kerana tidak mengajarinya." (hadis dikeluarkan oleh Abu Yu'laa dalam masnadnya dari hadis Anas)
Persoalan sekarang adakah kita melaksanakan ibadah solat dengan pelakuan yang betul-betul dari Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya? Betapa malangnya kita yang telah bertahun melaksanakan ibadah solat termasuk solat-solat sunat tetapi semuanya tidak diterima bahkan dianggap tidak solat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas.
na'uzubillah min zaalik.

Thursday, October 15, 2009

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI 2009

Setelah sempurna melaksanakan ibadah puasa dan solat terawih, maka tibalah masanya
untuk sambut Aidilfitri peringkat surau pada malam ini 15 okt 2009 di Surau taman Saraya. Kehadiran ahli kariah sangat menggalakkan sehingga mencecah lebih dari 150 orang. Jamuan yang disediakan sangat menyelerakan terutama sate dan ayam bakar.. Di samping bergembira menyambut Aidilfitri, jawatankuasa surau tidak melupakan mereka yang lebih memerlukan.. Sedikit sumbangan dihulurkan kepada murid tahfiz taman putra dan kepada semua kanak-kanak sebagai duit raya untuk tahun ini..


Ceramah Aidilfitri yang disampaikan oleh al-Fadhil Ust. Mohd Kashpi


Membincangkan sesuatu untuk kelancaran program


Dato' Muhammad Abdullah sedang menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak


Abg Zali antara AJK yang paling sibuk menyediakan jamuan Aidilfitri pada malam ini

Para hadirin menikmati jamuan sambil beramah mesra satu sama lain.

Tuesday, September 15, 2009

Majlis Khatam al-Qur'an

Setelah hampir sebulan tekun membaca al-qur'an secara berkumpulan, maka pada malam ini tanggal 15 sept 2009 sempurna aktiviti tadarus al-Qur'an tamat membaca 30 juzuk. Majlis Khatam Al-Qur'an tersebut diketuai oleh pengerusi surau En. Ahmad bin Isa dah jemaah yang turut serta malam tersebut hampir 40 orang. Alhamdulillah sambutan yang sangat menggalakkan pada tahun ini menandakan jawatankuasa pada sesi diterima oleh sebahagian ahli kariah Taman saraya. Pada malam ini juga jawatankuasa surau memberi sedikit sumbangan kepada 2 orang imam hafiz yang dijemput untuk mengimami solat tarawih jemaah surau tersebut. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran penaung surau iaitu Datuk Mohammad bin Abdullah yang sudi menyampaikan sedikit sumbangan kepada imam jemputan dan peserta tadarus pada malam ini. Sekali lagi diucapkan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan untuk bersama-sama pada majlis pada malam ini. Beberapa gambar juga diambil sebagai tanda kenangan untuk tatapan kami pada masa akan datang.


Pengerusi Surau mengetuai Majlis Khatam al-Qur'an pada kali ini






Antara jemaah lelaki yang menyertai Majlis Khatam al-Qur'an



Sebahagian dari peserta perempuan dalam majlis tersebut




Penyampaian hadiah oleh Datuk Mohammad bin Abdullah



Sebahagian Ahli Jawatankuasa Surau bergambar dengan imam jemputan selepas majlis Khatam al-Qur'an

yang terakhir ini adalah admin blog ini...

Wednesday, August 26, 2009

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.

Artikel lepas dicadangkan untuk bacaan bersempena Ramadhan

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

  1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

    “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

    (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

  2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

    “Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

    (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

    Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

    “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

    (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

  3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

    “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Riwayat di atas juga menambah:

    Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

    (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

    Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

    “Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

    (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

    Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

    Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

    “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

    (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

  4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

    Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

    (Surah al-`Araf:31).

    Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

    “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

    (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

    Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

  5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

    “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

    (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

    Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

    ”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

    (Faidh al-Qadir, 2/500).

    Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

    “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

    (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

    Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

  6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

    “Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

    (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

**Artikel yang dicadangkan untuk bacaan bersempena dengan Ramadhan ini ialah “Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah”. Sila klik di sini untuk artikel tersebut.